Zakat fitrah bersih diri

zakat2

Zakat fitrah bersih diri

RAMADAN, selain melaksanakan ibadat puasa, umat Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah. Kewajipannya ke atas setiap diri orang Islam, baik lelaki, wanita, dewasa, kanak-kanak, merdeka atau hamba.

Fakir miskin tidak terkecuali

RAMADAN, selain melaksanakan ibadat puasa, umat Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah. Kewajipannya ke atas setiap diri orang Islam, baik lelaki, wanita, dewasa, kanak-kanak, merdeka atau hamba.

Ini dapat difahami melalui satu hadis, seperti kata Abdullah bin Umar: “Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam secupak tamar atau secupak gandum sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan dan sunat membayarnya selepas fajar Aidilfitri hingga waktu solat hari raya, tetapi makruh membayarnya selepas solat terbabit dan ia tidak dikira zakat, sebaliknya sedekah, seterusnya jatuh haram membayarnya apabila berakhirnya satu Syawal.

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata berzakat ini wajib malah sesiapa yang bergelar Muslim perlu menunaikannya, termasuklah orang fakir.

“Bagi orang fakir yang langsung tiada wang dia boleh mengeluarkan fitrah apabila orang lain memberikan zakat kepadanya.

“Jika tidak mampu, dia tidak sekali-kali terlepas dari kewajipan itu. Dia dikira berhutang, maknanya kena tunai fitrah secara berganda pada tahun depan,” katanya mengulas mengenai kewajipan berzakat.

Menurutnya, zakat fitrah lebih elok ditunaikan di kawasan seseorang mencari rezeki, tetapi tiada masalah jika mahu dikeluarkan di negeri atau kampung masing-masing.

Di negara ini kadar zakat yang ditetapkan pihak berkuasa agama sesetengahnya berbeza, walaupun ada yang sama.

Bagi Wilayah Persekutuan dan Melaka kadarnya RM4.70, Negeri Sembilan,Johor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang RM5, Selangor, Sabah dan Sarawak RM5.20, Pahang dan Kelantan RM4.80, Terengganu RM5.50, RM5, RM4.80 manakala Perlis RM5 dan RM6.

“Cuma, janganlah kita ke tempat lebih murah untuk tujuan fitrah semata-mata dengan alasan berjimat, seolah-olah ada unsur berkira atau bakhil di dalam diri kita.

“Malah, lebih elok jika baki wang beberapa puluh sen itu disumbangkan terus kepada amil atau masjid, boleh diniatkan sedekah,” katanya.

Cara menunaikan zakat ialah dengan niat dan ikrar berzakat, sama ada untuk dirinya dan orang bawah tanggungannya atau sebagai wakil yang mewakili mana-mana pihak.

“Berjabat tangan ketika ikrar itu adalah adab dan tertibnya saja.

“Di negara kita pelaksanaan zakat lebih bersistem. Orang ramai menghulurkan zakat pada Baitulmal dan agensi terbabit mengagihkan wang zakat tadi kepada golongan yang ditetapkan.

“Tetapi, kita boleh memberikan zakat fitrah ini secara terus kepada fakir miskin, cuma dibimbangi tidak menepati kriteria miskin yang ditetapkan,” katanya.

“Dalam al-Quran menyebut yang pertamanya orang fakir, seterusnya miskin, barulah yang lain-lain seperti muallaf. Cuma muallaf boleh diberikan tanpa mengambil kira orang itu miskin atau berada,” katanya.

sumber : http://www.ipislam.edu.my                  Tarikh:         09 June 2008

Facebook Comments

comments

Powered by Facebook Comments